1 | Sinopsis Projek
CoMaSPro'23 merupakan akronim untuk Computer Maintenance at School Project. Projek ini diinspirasikan dari SULAM - pemetaan objektif pembelajaran kursus kepada khidmat komuniti sebagai pendekatan imersif dalam pengajaran dan pembelajaran. Mahasiswa/wi menghulurkan tangan kepada komuniti, membantu melalui pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah. Penglibatan mahasiswa/wi mempunyai nilai kredit dan dikira di dalam student learning time (SLT) bagi kursus Senibina dan Organisasi Komputer (MTN3013) di Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, Malaysia.
2 | Rasional Projek
Amalan pengajaran dan pembelajaran (pdp) terdahulu memerlukan pelajar menghasilkan laporan berkaitan perkembangan terkini teknologi komputer (CLO4) berpandukan tinjauan artikel atau lawatan ke syarikat/organisasi yang sesuai seperti DELL, Western Digital dan lain-lain. Walaupun aktiviti ini mampu membuka minda dan pandangan mahasiswa/wi terhadap teknologi terkini komputer yang terdapat dalam pasaran, namun ia merupakan aktiviti pasif sehala di mana pelajar hanya menerima input dari syarikat/organisasi yang dilawati. Selain dari aktiviti lawatan, terdapat juga aktiviti mereka bentuk casing komputer berdasarkan teknologi terkini yang bertemakan alam sekitar. Aktiviti ini memerlukan pelajar mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dari CLO3 untuk mencipta produk baru bagi menyokong Sustainabilty Develop Goals (SDG). Walau bagaimanapun, aktiviti ini terhenti dalam ruang kampus ketika aktiviti penilaian CLO4 melalui pameran hasil kerja pelajar. Maklumat lanjut berkaitan aktiviti lawatan dan reka bentuk casing komputer boleh dicapai dan
​
Penambahbaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran telah menjadikan mahasiswa/wi bukan sahaja berperanan sebagai penerima input pengetahuan dan kemahiran malah turut menjadi agen penyebar kepakaran dalam kalangan masyarakat. Justeru, idea SULAM telah menginspirasikan projek CoMaSPro'23 sebagai pendekatan pembelajaran yang lebih bermakna melalui pengalaman sebenar di lapangan.
​
3 | Ringkasan Projek
Projek ini dilaksanakan khusus untuk kursus Senibina dan Organisasi Komputer (MTN3013) di Universiti Pendidikan Sultan Idris, sebuah universiti yang melahirkan ramai graduan pendidikan di serata Malaysia. Projek ini merupakan sebahagian dari markah kerja kursus yang merangkumi tiga dari lapan topik;
1) Komponen Sistem Komputer
2) Sistem Operasi
3) Input/output
Jumlah keseluruhan SLT bagi ketiga-tiga topik ini ialah 47 jam dengan nisbah 21:26 (kuliah/makmal: lapangan/komuniti). Pentaksiran merangkumi Ujian Penyelenggaraan Komputer secara individu dan Projek Berkumpulan (SULAM) yang menyumbang markah kerja kursus sebanyak 30%-40%.
4 | Objektif Projek
1) Memenuhi keperluan kursus Senibina dan Organisasi Komputer (MTN3013) berkenaan CLO ketiga; menjalankan aktiviti pemasangan pengkonfigurasian dan penyelenggaraan PC dan peralatan lain dengan betul.
2) Memenuhi keperluan kursus Senibina dan Organisasi Komputer (MTN3013) berkenaan CLO keempat; menganalisis perkembangan terkini dalam teknologi komputer
3) Mengaplikasi kemahiran penyelenggaraan komputer yang dipelajari di bilik kuliah dan makmal kepada atmosfera sebenar.
4) Membina pengalaman di dalam khidmat penyelenggaraan komputer melalui pengalaman lapangan di sekolah (SULAM).
5) Mempromosi kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti kepada pihak sekolah secara tidak langsung.
6) Berkongsi idea dan memupuk rasa tanggungjawab di dalam penyelesaian masalah.
5 | Profil Peserta
Para peserta adalah dalam kalangan mahasiswa/wi semester-pertama tahun-pertama dari program AT20 - Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pendidikan (Kepujian), AT46 - Ijazah Sarjana Muda Multimedia dengan Pendidikan (Kepujian), AC10 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan dengan Kepujian), dan program minor di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Bagi perlaksanaan Semester I 2022/23 jumlah keseluruhan mahasiswa/wi yang terlibat sebagai peserta adalah seramai 132 orang.
6 | Profil Komuniti
Bagi perlaksanaan projek pada Semester 1 2022/23, empat sekolah di daerah Hulu Selangor telah terlibat:
1) Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah
2) Sekolah Menengah Sungai Choh
3) Sekolah Agama Menengah Sg. Selisek
4) Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.
Sebahagian dari sekolah yang terlibat merupakan Sekolah Bitara UPSI.
7 | Kolaborasi dan Penaja
Bagi perlaksanaan projek pada Semester 1 2022/23, kami berjaya berkolaborasi bersama empat buah sekolah dari segi lokasi, fasiliti dan makanan di samping mendapat penajaan dari Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi sebanyak RM718.60 dan University-Community Transformation Center, UCTC sebanyak RM2540.00. Projek ini juga turut disokong oleh Persatuan Teknologi Maklumat (PTM), UPSI.